kitab nafkah-nafkah
كِتَابُ النَّفَقَاتِ
Bab Kelebihan Memberi Nafkah Kepada Keluarga
Bāb Faḍl al-Nafaqah ʿalā al-Ahl
بَابُ فَضْلِ النَّفَقَةِ عَلَى الأَهْلِ
Dan Firman Allah : “Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka belanjakan. Katakanlah: “Yang lebih dari keperluan”. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu mudah-mudahan kamu dapat berfikir tentang dunia dan akhirat”. Al-Hasan berkata, Kalimah “العَفْوُ” bermaksud lebihan daripada keperluan.
وَقَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى: {وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ؟ قُلْ: العَفْوَ، كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ} وَقَالَ الحَسَنُ: العَفْوُ: الفَضْلُ
5351 – Adam bin Abu Iyas menyampaikan kepada kami, Syu’bah menyampaikan kepada kami, daripada ‘Adi bin Tsabit, katanya, “Aku mendengar ‘Abdullah bin Yazid al-Ansari, daripada Abu Mas’ud al-Ansari. Lalu aku berkata, “Engkau meriwayatkannya daripada Nabi?” Dia menjawab: “Daripada Nabi ﷺ sabdanya: “Apabila seorang muslim memberi belanja kepada keluarganya dalam keadaan dia mengharapkan ganjaran Allah maka perbelanjaannya menjadi sedekah”.
5351 – حَدَّثَنَا آدَمُ بْنُ أَبِي إِيَاسٍ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ عَدِيِّ بْنِ ثَابِتٍ، قَالَ: سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ يَزِيدَ الأَنْصَارِيَّ، عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الأَنْصَارِيِّ، فَقُلْتُ: عَنِ النَّبِيِّ؟ فَقَالَ: عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِذَا أَنْفَقَ المُسْلِمُ نَفَقَةً عَلَى أَهْلِهِ، وَهُوَ يَحْتَسِبُهَا، كَانَتْ لَهُ صَدَقَةً».
5352 – Isma’il menyampaikan kepada kami, katanya, “Malik menyampaikan kepadaku, daripada Abu al-Zinad, daripada al-A’raj, daripada Abu Hurayrah bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah berfirman: “Berbelanjalah wahai anak Adam! Nescaya Aku berikan rezeki kepadamu”.
5352 – حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، قَالَ: حَدَّثَنِي مَالِكٌ، عَنْ أَبِي الزِّنَادِ، عَنِ الأَعْرَجِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: قَالَ اللَّهُ: أَنْفِقْ يَا ابْنَ آدَمَ أُنْفِقْ عَلَيْكَ.
5353 – Yahya bin Qaza’ah menyampaikan kepada kami, Malik menyampaikan kepada kami, daripada Tsawr bin Zayd, daripada Abu al-Ghaith, daripada Abu Hurayrah, katanya, “Nabi ﷺ bersabda: “Orang yang berusaha (memberi bantuan) kepada janda dan orang miskin sama seperti orang yang berjihad di jalan Allah atau orang yang beribadah pada waktu malam dan berpuasa pada waktu siang”.
5353 – حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ قَزَعَةَ، حَدَّثَنَا مَالِكٌ، عَنْ ثَوْرِ بْنِ زَيْدٍ، عَنْ أَبِي الغَيْثِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «السَّاعِي عَلَى الأَرْمَلَةِ وَالمِسْكِينِ، كَالْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، أَوِ القَائِمِ اللَّيْلَ الصَّائِمِ النَّهَارَ».
5354 – Muhammad bin Katsir menyampaikan kepada kami, Sufyan mengkhabarkan kepada kami, daripada Sa’ad bin Ibrahim, daripada ‘Amir bin Sa’ad, daripada Sa’ad katanya, “Nabi ﷺ melawat aku ketika aku sakit di Mekah”. Maka aku berkata, “Aku mempunyai harta, adakah boleh aku mewasiatkan kesemua hartaku (untuk jalan Allah)? Baginda menjawab: “Jangan”. Aku berkata, “Separuh?” Baginda berkata, “Jangan”. Aku berkata lagi: “Satu pertiga?” Baginda berkata, “Satu pertiga. Dan satu pertiga masih banyak. Engkau meninggalkan warismu dalam keadaan kaya lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan papa kedana sambil mengemis kepada orang ramai daripada tangan-tangan mereka. Selagimana engkau membelanjakan harta itu maka ia merupakan sedekah untukmu walaupun sesuap nasi yang engkau suapkan ke mulut isterimu. Semoga Allah mengangkat darjatmu (dengan memanjangkan umurmu), orang ramai mendapat manfaat darimu dan orang lain (orang kafir) mendapat kesusahan dengan sebabmu”.
5354 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ كَثِيرٍ، أَخْبَرَنَا سُفْيَانُ، عَنْ سَعْدِ بْنِ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ عَامِرِ بْنِ سَعْدٍ، عَنْ سَعْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي وَأَنَا مَرِيضٌ بِمَكَّةَ، فَقُلْتُ: لِي مَالٌ، أُوصِي بِمَالِي كُلِّهِ؟ قَالَ: «لاَ» قُلْتُ: فَالشَّطْرِ؟ قَالَ: «لاَ» قُلْتُ: فَالثُّلُثِ؟ قَالَ: «الثُّلُثُ وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ، أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ، وَمَهْمَا أَنْفَقْتَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ، حَتَّى اللُّقْمَةَ تَرْفَعُهَا فِي فِي امْرَأَتِكَ، وَلَعَلَّ اللَّهَ يَرْفَعُكَ، يَنْتَفِعُ بِكَ نَاسٌ، وَيُضَرُّ بِكَ آخَرُونَ».
Bab Kewajipan Memberi Nafkah Kepada Isteri Dan Keluarga
Bāb Wujūb al-Nafaqah ʿalā al-Ahlwa al-ʿIyāl
بَابُ وُجُوبِ النَّفَقَةِ عَلَى الأَهْلِ وَالعِيَالِ
5355 – ‘Umar bin Hafs menyampaikan kepada kami, bapaku menyampaikan kepada kami, al-A’mash menyampaikan kepada kami, Abu Shalih menyampaikan kepada kami, katanya, “Abu Hurayrah menyampaikan kepadaku, katanya, “Nabi ﷺ bersabda: “Sedekah yang paling baik adalah yang memberikan kecukupan. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah dan mulakanlah (pemberian) kepada orang yang menjadi tanggunganmu. Si isteri berkata, “Samada engkau mahu memberi aku makan atau menceraikanku”. Si hamba berkata, “Berilah aku makan dan gunakanlah aku untuk sesuatu pekerjaan”. Si anak berkata, “Berilah aku makan! Kepada siapa hendak engkau biarkan aku”. Maka mereka berkata, “Wahai Abu Hurayrah! Adakah engkau mendengar ini daripada Rasulullah ﷺ? Beliau menjawab: “Tidak. Ini daripada Abu Hurayrah”.
5355 – حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ حَفْصٍ، حَدَّثَنَا أَبِي، حَدَّثَنَا الأَعْمَشُ، حَدَّثَنَا أَبُو صَالِحٍ، قَالَ: حَدَّثَنِي أَبُو هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَفْضَلُ الصَّدَقَةِ مَا تَرَكَ غِنًى، وَاليَدُ العُلْيَا خَيْرٌ مِنَ اليَدِ السُّفْلَى، وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ». تَقُولُ المَرْأَةُ: إِمَّا أَنْ تُطْعِمَنِي، وَإِمَّا أَنْ تُطَلِّقَنِي، وَيَقُولُ العَبْدُ: أَطْعِمْنِي وَاسْتَعْمِلْنِي، وَيَقُولُ الِابْنُ: أَطْعِمْنِي، إِلَى مَنْ تَدَعُنِي، فَقَالُوا: يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، سَمِعْتَ هَذَا مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: «لاَ، هَذَا مِنْ كِيسِ أَبِي هُرَيْرَةَ».